KEBANGKITAN PERJUANGAN MAHASISWA DALAM CERMINAN ABAD
Fadhlur Rahimi bin Ahmad Bustami
(Kertas Kerja ini dibentangkan di Seminar Kepimpinan Islam bertempat di Dewan Peperiksaan, Multimedia University pada 21 Februari 2009)
Pengenalan
Perjuangan Mahasiswa atau Student Activism adalah menjadi sebut-sebutan kepada banyak pihak. Telatah mahasiswa di dalam memperjuangkan idea yang mereka anuti seringkali menjadi igauan kepada para pemerintah yang diktator mahupun kepada para opurtunis yang sentiasa menyalahgunakan peluang untuk kepentingan peribadi. Namun, istilah perjuangan mahasiswa dan student activism seringkali disalahertikan sebagai seseorang mahasiswa yang hanya berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan pencapaian dirinya sahaja. Seperti belajar bersungguh-sungguh dan terlibat dengan penganjuran program-program persatuan. Dalam masa yang sama tidak memperdulikan apa yang berlaku di luar ruang lingkup kemahasiswaan mereka.
Terminologi dan Definisi
Persoalannya benarkah anggapan tersebut. Fletcher, A. (2005) memberikan takrifan kepada “Student activism” atau perjuangan mahasiswa sebagai suatu usaha yang dilakukan oleh mahasiswa yang memberikan kesan perubahan kepada politik, ekonomi dan sosial. Sekiranya takrif ini digunakan, maka mahasiswa yang ingin mendukung perjuangan seharusnya menjadikan gerakerja perjuangan mereka keluar daripada kepompong persekitaran kolej, universiti dan kemahasiswaan semata-mata. Seharusnya takrifan Perjuangan Mahasiswa atau Student Activism dibezakan dengan istilah-istilah seperti pelajar yang baik, pelajar yang rajin, mahasiswa yang berjaya di dalam pelajaran dan mahasiswa yang berketrampilan. Walaupun begitu, unsur-unsur di atas merupakan elemen yang sangat utama di dalam perjuangan mahasiswa.
Tugas Mahasiswa
Mohd Shuhaimi Al-Maniri (1995) menulis tentang tugas dan tanggungjawab mahasiswa dan pembahagian sikap mereka. Perkara yang paling asas yang wajib dilakukan oleh mahasiswa adalah menguasai pengkhususan yang mereka pelajari di Kolej atau Universiti. Penguasaan ini dilakukan dengan belajar dan mendapat kecemerlangan di dalam peperiksaan. Jika ini pun tidak dapat dilakukan, maka mereka bukan mahasiswa kerana ia adalah perkara yang paling asas. Peringkat kedua tanggungjawab mahasiswa adalah mempertingkatkan ilmu, kemahiran, kebolehan, ketrampilan, kemahiran kepimpinan dan kemahiran pengurusan. Kebanyakan ilmu ini adalah di luar daripada silibus pengkhususan yang mereka pelajari. Mereka perlu mengadakan wacana, berdebat, membaca dan berpesatuan untuk tujuan tersebut. Peringkat yang ketiga tanggungjawab mahasiswa, inilah yang disebut perjuangan mahasiswa atau student activism iaitu melakukan gerakerja bersungguh-sungguh untuk membuat perubahan di dalam masyarakat, ekonomi, sosial dan politik kepada keadaan yang lebih baik. Peringkat ketiga inilah yang paling sukar, dan kejayaan dan kegagalan di peringkat menjadi bahan perbahasan ahli-ahli akademik, dan ditulis sebagai satu catatan sejarah di dalam sesebuah negara.
Peringkat ketiga aksi mahasiswa inilah yang menyaksikan banyak perubahan-perubahan politik dan ekonomi yang berlaku di dalam sejarah dunia. Perubahan ini sangat besar sehinggakan ia mengubah landskap politik dunia bukan hanya di satu-satu negara sahaja. Di antara perubahan politik yang penting, yang berlaku di dalam sejarah moden yang digerakkan atau disertai oleh kelompok mahasiswa dan pemuda adalah Velvet Revolution di, Czechoslovakia (1989), May Fourt Movement di China (1919), Revolusi Islam Iran (1989), Protes Tiananment Square di China (1989), Indonesia (1998), Bulldozer Revolution di Serbia (2000), Rose Revolution di Georgia (2003), Orange Revolution di Ukraine(2004), Tulip Revolution di Kyrgystan(2005). Kesemua contoh-contoh di atas adalah perubahan regim yang berlaku hasil gerakan pelajar.
Mengapa Gerakan Mahasiswa?
Ramai yang bertanya, mengapakah sesuatu kebangkitan tersebut, perlu digandingkan bersama-sama dengan perkataan mahasiswa, gerakan tersebut pula mendapat satu liputan yang sangat istimewa dan ia dianggap sebagai sesuatu yang sangat ekslusif sedangkan di dalam masa yang sama, terdapat banyak lagi kebangkitan lain yang mempengaruhi keadaan politik, sosial dan ekonomi sesebuah negara yang dikepalai oleh kelompok yang bukan lagi bergelar mahasiswa.
Namun, satu fakta yang sukar untuk disanggah terutama di era moden ini adalah, terlalu banyak perubahan radikal di dalam sesebuah di negara digerakkan oleh kelompok mahasiswa manakala gelombang kebangkitan yang digerakkan oleh kelompok lain seringkali disertai bersama dengan kelompok mahasiswa dan pelajar.
Gerakan seperti ini digandingkan namanya dengan mahasiswa kerana terdapat perubahan yang radikal kepada sesuatu individu tersebut apabila mereka keluar daripada alam kampus. Walaupun idealisme yang diperjuangkan ketika di kampus kekal di dalam hati sanubari bekas mahasiswa, namun tindakan mereka sudah agak terbatas dibandingkan ketika mereka berada di alam pelajar.
Secara umumnya, perkara ini menjadi putaran berkali-kali apabila lapisan demi lapisan keluar dan masuk universiti tanpa bergantung kepada siapakah dia yang berada di alam kemahasiswaan tersebut.
Kelompok mahasiswa mampu untuk nyata bangkit membuat memperjuangkan perubahan berbanding kelompok lainnya di dalam struktur masyarakat adalah disebabkan beberapa faktor berikut, (Christopher A. Miller):
a. Ideal
Di dalam tempoh usia mereka yang muda remaja, serta keghairahan terhadap ilmu, teori dan falsafah yang tinggi menyebabkan kelompok ini sangat ideal cara berfikirnya. Mereka mempunyai ideologi yang tulen berkenaan sesuatu perkara. Cara berfikir yang sedemikian menyebabkan kelompok ini cenderung untuk bersikap proaktif di dalam menyelesaikan pelbagai masalah di dalam masyarakat daripada membiarkannya.
b. Budaya Ilmu di Universiti/IPT
Budaya universiti yang menggalakkan kepada kuliah, perbahasan, perdebatan, wacana dan pembacaan melonjakkan semangat mahasiswa untuk mengimplementasikan apa yang mereka rumuskan daripada wacana-wacana tersebut.
c. Muda
Rata-rata kelompok mahasiswa adalah terdiri daripada usia belasan tahun sehinggalah penghujung usia 20-an. Di dalam usia sedemikian, kelompok ini mempunyai jiwa memberontak yang sangat membara. Mereka juga cenderung untuk bebas daripada terikat dengan mana-mana birokrasi dan tradisi. Golongan ini sangat bertenaga terutama di dalam berdepan dengan pelbagai situasi yang sukar
d. Masa yang Banyak
Berbanding dengan golongan selepas persekolahan yang telah bekerja, golongan mahasiswa mempunyai masa luang yang lebih banyak. Di dalam kesempatan waktu tersebut, mereka mampu untuk merencanakan sesuatu perkara dengan baik dan melaksanakan pelbagai perancangan tersebut. Selain itu, waktu tersebut juga biasanya digunakan untuk menambah pengetahuan berkenaan pelbagai ilmu, kemahiran dan falsafah selain menyebarkannya kepada rakan-rakan sepengajian.
e. Kurang Tanggungjawab
Kelompok mahasiswa rata-ratanya masih belum berkahwin dan bekerja. Mereka tidak mempunyai anak, dan isteri. Dalam keadaan tersebut, mereka mampu untuk membuat sesuatu keputusan dengan tempoh yang singkat tanpa perlu berfikir panjang. Perkara ini sangat jelas di dalam perjuangan yang bersangkut paut dengan politik di sesebuah negara.
f. Budaya berpersatuan di Universiti
Budaya ini membentuk hubungan struktur yang kuat di antara mahasiswa satu sama lain. Selain itu juga ia membentuk tradisi kepimpinan yang sangat dihormati oleh kelompok mahasiswa dan masyarakat.
g. Membentuk Komuniti
Pengajian di universiti dan kolej, membentuk satu komuniti yang hampir antara satu sama lain. Mereka tinggal berhampiran. Kedudukan yang sebegini, membentuk satu rangkaian pengurusan yang cepat di dalam apa juga tindakan mereka. Kedudukan yang sebegini juga, memudahkan aspek kawalan terutama oleh pimpinan mahasiswa terhadap pengikut-pengikut mereka. Tidak terkecuali aspek penyebaran maklumat, mereka dekat dengan pensyarah dan pimpinan mereka.
h. Kelompok Kelas Pertengahan (Middle Class)
Di dalam piramid struktur masyarakat, kebanyakan mahasiswa berasal daripada keluarga kelas pertengahan. Perkara ini lebih jelas di negara-negara yang IPTnya tidak dibiayai oleh kerajaan. Kedudukan ekonomi yang tidak terlalu menghimpit mereka menyebabkan mereka mampu untuk berfikir di luar daripada persoalan cari makan yang membelenggu kebanyakan golongan bawahan.
Mengapa Gerakan Mahasiswa Sangat Berpengaruh
Gerakan mahasiswa adalah satu gerakan yang sangat ampuh dan berpengaruh. Suara mereka didengar dan digeruni. Mereka juga dihormati. Faktor-faktor yang menyebabkan fenomena sedemikian berlaku adalah (Christopher A. Miller,2001):
a. Mahasiswa Golongan Elit dan Terpelajar
Masyarakat menganggap bahawa mahasiswa adalah golongan elit yang pandai. Tidak semua masyarakat yang mampu untuk menyambung pelajaran disebabkan kurang berjaya di dalam pengajian. Oleh itu, apabila mahasiswa bersatu di dalam satu suara, maka ia dianggap mewakili pemikiran golongan yang terpelajar yang seharusnya diikuti suara mereka.
b. Kemahasiswaan Adalah Institusi yang dihormati oleh masyarakat
Disebabkan kelompok mahasiswa rata-ratanya tidak bekerja dan tugas mereka hanyalah belajar, maka apabila golonogan ini memberikan pandangan tentang sesuatu perkara, pandangan mereka dianggap sebagai pandangan yang lahir daripada hati budi mereka sendiri tanpa adanya apa-apa kepentingan daripada mana-mana pihak yang berlawanan. Masyarakat menganggap pandangan mereka adalah objektif apabila mereka bersetuju apabila mereka bersetuju dengna sesuatu pihak mahupun apabila mereka tidak bersetuju dengan sesuatu pihak.
c. Mahasiswa adalah sebahagian daripada masyarakat
Mahasiswa dan pelajar merupakan anak-anak, saudara mara dan kenalan kepada sebahagian masyarakat yang lebih besar. Oleh itu, kata-kata mereka sangat berkesan kepada keluarga, saudara dan kenalan mereka. Hubungan yang sangat rapat itu juga menyebabkan masyarakat turut bangkit bersama mahasiswa di dalam pelbagai isu yang diutarakan dan seterusnya membela mereka.
Ciri-ciri Perjuangan Mahasiswa
Suatu perkara yang harus diakui oleh mana-mana pihak, perjuangan mahasiswa walau sebesar mana sekalipun perubahan yang dilakukan pada sesebuah negara, hampir tidak ada yang mewarnai perjuangan mereka dengan senjata dan keganasan. Apabila sesuatu perjuangan tersebut disertai dengan gerakan bersenjata, walaupun kelompok itu adalah terdiri daripada golongan pemuda maka ia tidak dinamakan sebagai gerakan mahasiswa. Walaupun terdapat tohmahan kini bahawa gerakan mahasiswa adalah suatu gerakan yang ganas di atas pelbagai demonstrasi yang dilakukan, namun di kalangan ahli akademik yang mengkaji gerakan pelajar, mereka tetap mengklasifikasikan tindakan tersebut sebagai non-violent action / non-violent struggle selagi mana ia tidak disertai dengan pemberontakan bersenjata (Gene Sharp, 1993).
Kejatuhan banyak diktator hasil daripada gerakerja mahasiswa berlaku dengan aman tanpa melibatkan pertumpahan darah yang besar dan pemberontakan bersenjata. Mahasiswa yang berjuang kepada perubahan politik sesebuah negara membuat pelbagai protes yang simbolik dan civil disobedient.
Mahasiswa menggunakan semua saluran yang ada sama ada rasmi atau tidak untuk menyatakan penentangan mereka terhadap sesuatu isu. Protes melalui media, akhbar, boikot, demonstrasi dan sebagainya menjadi suatu bentuk strategi bagi mereka untuk mencapai matlamat perjuangan.
Kebanyakan buku-buku tentang perjuangan mahasiswa mengaitkan perjuangan tersebut dengan mahasiswa apabila perjuangan tersebut anti-establishment. Walaupun begitu, mahasiswa yang berjuang untuk identiti bangsa, dan negara turut disanjung dan tertulis di dalam lipatan sejarah sesebuah negara.
Perjuangan Mahasiswa di Malaysia Sepintas Lalu
Ramai penulis menganggap dekad penghujung 60-an dan awal 70-an sebagai zaman emas (Shuhaimi, 1995) kebangkitan golongan mahasiswa di negara ini. Perkara ini berlaku kerana mahasiswa pada ketika itu keluar daripada kampus mereka, turun bersama rakyat di dalam memperjuangkan masalah rakyat tertindas. Mahasiswa di dalam tempoh ini melakukan pengorbanan yang besar semata-mata untuk membela kebajikan rakyat. Ketika ini perbahasan kampus sarat dengan pelbagai ideologi dan falsafah seperti nasionalis dan sosialis. Kemudian munculnya kelompok Islamis yang memperjuangkan cara hidup Islam di dalam masyarakat. Kebanyakan perjuangan mereka adalah bersifat anti-establishment.
Kelompok pro-establishment di dalam era kampus wujud agak lewat iaitu dipenghujung tahun 80-an. Bermula dari waktu tersebut, maka pilihanraya kampus menjadi tempat pertembungan di antara kelompok pro-establishment dan anti-establishment. Namun, satu perkara yang berlaku, seringkali pihak pentadbir universiti mengambil sikap berpihak terutama kepada kelompok pro-establishment setiap kali pilihanraya kampus berlaku.
Sesetengah universiti menghadkan jenis-jenis wacana yang boleh diadakan. Kurangnya slot perbahasan daripada pelbagai pihak yang bertentangan menyebabkan suasana perjuangan mahasiswa di kampus tidak sesubur era yang lampau.
Namun, ada juga yang menyanggah perkara tersebut dengan menyatakan baahwa gerakan mahasiswa telah berevolusi menjadi sedemikian sifatnya di atas sikap mengutamakan matlamat yang hendak dituju berbanding kaedah yang hendak dilakukan.
Penutup
Satu perkara yang harus diambil perhatian di sini bahawa, walau seberapa jauh perbincangan kita, kita akan dapati bahawa mahasiswa tersebut tidak akan bangkit jika tidak ada ilmu yang menyokong mereka. Oleh itu, universiti dan mahasiswa harus membanyakkan wacana, membanyakkan bahas, mengurangkan protokol, berfikir secara terbuka, mempunyai jiwa yang merdeka, dan harus keluar dari kepompong kejumudan. Manakala, dari segi yang lain, mereka harus memperbanyakkan kemahiran dan ketrampilan peribadi. Dengan cara tersebut, maka gerakan mahasiswa akan terus dihormati oleh masyarakat.
Rujukan dan Bibliografi
1. Gene Sharp, 1993, From Dictatorship to Democracy, Albert Einstein Institution, Boston
2. Mohd Shuhaimi Al-Maniri, 1995, Di Sebalik Tabir Politik Kampus, Pustaka Generasi Baru, Kuala Lumpur
3. Riduan Mohamad Nor, 2007, Potret Perjuangan Mahasiswa Dalam Cerminan Dekad, Jundi Resources, Kuala Lumpur
4. Fletcher, A., 2005, Guide to Social Change Led By and With Young People Olympia, WA
5. Gene Sharp & Bruce Jenkin, 2002, The Anti-Coup, Albert Einstein Institution, Boston
0 comments:
Post a Comment