Tuesday, November 24, 2009

JAIS, WAHABI DAN MAZA

DANTulisan:
Pandangan saya, JAIS seharusnya bersikap memberikan kefahaman kepada masyarakat bukannya semakin mengusutkan lagi keadaan. Pendekatan tangkap dan dakwa ni, sangat mengelirukan masyarakat. Kita menangkap seseorang apabila seseorang itu bersalah. Di dalam kes Dr MAZA ini, kesalahan beliau adalah berceramah tanpa tauliah. JAIS pun dah sama macam polis yang menghalang sebarang program ceramah tanpa permit.
Apabila ditanya kepada JAKIM, adakah fahaman Wahabi sesat. JAKIM kata tak sesat. JAIS sendiri pun mengakui fahaman Wahabi tidak sesat. Masalahnya pula di Malaysia ini, istilah Wahabi sendiri tidak mempunyai pentakrifan yang khusus. Ia digunakan sewenang-wenangnya untuk melabel kepada sesiapa yang tidak bersama-sama dengan kefahaman golongan tertentu. Jika seseorang yang balik mengaji Madinah, atau ikut aliran Ahl Hadith, atau membaca buku Syaikh Al-Albani, atau ada satu dua perkara yang dia tidak bersama dengan fahaman Syafieyyah-Tradisional-Tempatan, maka dia akan dinasibkan denga gelaran Wahabi.
Sebahagian pula mendakwa, Wahabi adalah fahaman yang tidak mengikut Mazhab Shafie. Sedangkan realiti di Malaysia ini, Mazhab Shafie hanya diikut di dalam urusan-urusan ibadah khusus sahaja. Di dalam zakat sendiri, kita mengikut pandangan mazhab Hanafi dan Kontemporer iaitu dibenarkan membayar zakat fitrah dengan matawang, bukannya beras. Di dalam Khuluk, mengikut mazhab Maliki, di dalam muamalah, lagilah teruk. Tinggal habis mazhab shafie. Kesemuanya mazhab kontemporer kalau tidakpun mazhab Hanafi. Habis tu, adakah kesemua rakyat Malaysia Wahabi!

JAIS di dalam kenyataan rasmi mereka baru ini mengatakan bahawa Wahabi tidak sesat, tetapi di dalam senarai ajaran-ajaran sesat yang dikeluarkan oleh JAIS yang saya tengok sendiri, mereka memasukkan Wahabi sebagai salah satu daripada Ajaran sesat. Pentakrifan Wahabi mereka juga sangat menarik. Dokumen tersebut menulis, antara lain, Wahabi merupakan fahaman yang dibawa oleh Syeikh Muhammad bin Abd Wahhab, yang menolak Qunut dan Tahlil. Ringkas aje takrifannya.

Bagi saya takrifan dan penghukuman JAIS ini sangat zalim. Kalau begitu takrifannya, maka 3 imam (Hanafi, Maliki, Hambali), dan para imam lain, syaikh-syaikh besar di tanah suci Makkah, Madinah, kesemuanya adalah Wahabi kerana mereka tidak Qunut Subuh. Kalau mengikut JAIS, Wahabi itu sesat. Maka, imam-imam tersebut juga adalah sesat. Jika imam-imam tersebut sesat, mengapa JAIS masih membenarkan umat Islam Selangor berimamkan Syuraim di Masjidil Haram kerana beliau tidak Qunut Subuh.

Hakikatnya, JAIS tidak berani mendakwa Dr MAZA di atas tuduhan Wahabi sesat, kerana mereka tahu bahawa hujah mereka sangat lemah di dalam menyesatkan golongan yang mengikut kaedah Ahl Hadith. Oleh itu, terpaksalah tangkap dengan menggunakan peruntukan tidak mempunyai tauliah. Sedangkan Dr MAZA telah pun menjadi mufti.
Apabila ditanya, kenapakah Tauliah diwujudkan? JAIS menjawab, tauliah perlu ada untuk mengelakkan penceramah MENGAJAR AJARAN YANG SALAH. Jawatankuasa meluluskan tauliah antaranya adalah mufti.
Persoalan yang harus dijawab oleh JAIS adalah, adakah kesemua 13 orang mufti di Malaysia ini termasuk Mufti Perlis, memliki aqidah yang benar dan mengajar ilmu yang betul. Jika JAIS menjawab kesemua mufti di Malaysia memiliki aqidah yang benar, maka untuk apa lagi tauliah kepada mufti-mufti? Kerana tujuan tauliah adalah untuk memastikan pengajar mengajar pengajaran yang betul.

Melainkan jika JAIS mengatakan bahawa tidak kesemua Mufti di Malaysia memiliki Aqidah yang benar, maka wajarlah kesemua 13 mufti di Malaysia ini, menduduki temuduga JAIS untuk mendapatkan tauliah bagi mengajar di Selangor. Adakah JAIS berani membuat pengisytiharan bahawa mereka tidak yakin dengan kebenaran aqidah kesemua 13 orang mufti di Semenanjung termasuk Perlis, sehingga memerlukan mereka mendapatkan tauliah dahulu sebelum mengajar di Selangor.
Dr MAZA merupakan bekas mufti. Adalah sangat pelik jika seseorang yang mengeluarkan tauliah mengajar (mufti mengeluarkan tauliah mengajar), adalah mereka yang sesat aqidahnya.
Apabila golongan yang mengikut manhaj Ahl Hadith, minta tauliah daripada JAIS, JAIS tetap tidak memberikan tauliah kepada mereka. Inilah dia nasib yang diterima oleh ketujuh-tujuh orang termasuk seorang daripada pensyarah UKM, Dr Azwira. Alasan JAIS, silap isi borang! Adalah mustahil kesemua 7 orang daripada mereka, tidak tahu mengisi borang!
Sebab itu, bagi saya, isu pertentangan kaum muda dank aum tua ini harus diselesaikan dengan muzakarah dan debat dengan penuh adab dan hikmah. Rakyat dan masyrakat harus didedahkan juga dengan pandangan-pandangan lain. Walaupun masyarakat tidak beramal dengannya, tetapi mereka harus tahu supaya mereka tidak sewenangnya menyesatkan orang lain. Ini yang berlaku kepada segelintir penduduk di Taman Sri Ukay.
Adakah segelintir penduduk di Taman Sri Ukay ini, akan membuat report kepada JAIS jika mereka pergi ke UIA, imamnya tidak membaca Qunut Subuh, membuat report kepada MAIPP jika mereka pergi ke USM kerana imamnya tidak membaca Qunut Subuh dan membuat report kepada JAIS agar menangkap imam di Masidil Haram apabila mendapati imam Masjidil Haram tidak membaca Qunut Subuh.
Sekarang ini adalah musim haji. 30,000 orang rakyat Malaysia pergi menunaikan haji. Cuba kita fikirkan, jika 30,000 orang rakyat Malaysia yang berada di tanah suci, berpemikiran jumud dan tertutup seperti JAIS dan penduduk di Taman Sri Ukay ini, bagaimana mereka hendak beribadah di sana. Kesemua imam dan sheikh adalah WAHABI! Akhirnya, mereka keliru dan terus keliru.

Sebab itu, bagi saya peranan JAIS adalah menerangkan bukannya mengusutkan lagi keadaan. Malangnya di Malaysia ini, seorang pendakwah yang tidak berani diisytiharkan sesat oleh JAIS, ditangkap setaraf dengan orang berkhalwat dan ayah pin. Masyarakat akan terus keliru siapakah yang benar dan siapakah yang salah.
Saya setuju, bagi mempermudahkan urusan pentadbiran dan penyatuan, satu penyelarasan hokum bagi satu Negara perlu di lakukan. Namun, pandangan lain juga perlu didedahkan dan masyarakat tidak taksub dan bersifat terbuka serta tidak bergaduh sesama sendiri.
TIndakan tangkap pendakwah tidak betul. Ia akan mengelirukan masyarakat tentang perbahasan hokum. Dan akan menyusahkan masyarakat apabila mereka berinteraksi dengan orang Islam daripada lain-lain Negara kelak.

Thursday, June 11, 2009

Pengembaraan Rohani Mengelilingi Dua Tanah Suci

Menjejakkan kaki daripada kapal terbang di lapangan terbang Prince Mohammad bin Abd Aziz di Jeddah, terus dikejutkan dengan jeritan beberapa orang pengawal lapangan terbang, berkaca mata hitam, dengan keras menyuruh kesemua jemaah untuk terus masuk ke dalam bas. Selepas itu, dihantar untuk beratur panjang di pos imegresen. Sebahagian daripada jemaah yang terdiri daripada orang-orang tua dan kanak-kanak telahpun memakai ihram. Di sini, pegawai imegresen yang memeriksa pasport kami membuat kerja mereka sambil berbual dengan beberapa orang rakan-rakan mereka. Membiarkan barisan itu terbiar panjang bersama jeritan tangisan budak-budak. Apabila menaiki bas sekali lagi terdengar pelbagai suara jeritan perbalahan pemandu dan mutawif kami. Mungkin sedang berbalah berkenaan dengan kelewatan ketibaan kami dan harga yang akan kami bayar.


Suasana tandus, gersang dan panas di gurun Arab membentuk satu bangsa yang keras dan kasar. Maha Suci ALLAH, bangsa yang sangat keras dan kasar itu mampu dibentuk dengan Islam dan ajarannya. Bahkan mereka seterusnya memimpin dunia pada zaman awal permulaan Islam sehingga membentuk tamadun baru yang penuh dengan nilai keimanan, persamaan dan kasih-sayang.

Terfikir sedikit di benak dan sanubari, betapa Nabi SAW mampu mengislamkan seluruh tanah Arab yang melibatkan ratusan ribu manusia dengan hanya 23 tahun. Sedangkan di Malaysia ini, jutaan manusia pelbagai bangsa Cina, India, Kadazan dan Iban masih lagi terbelenggu dengan kepungan kekufuran walaupun mereka telah lebih 150 tahun bersama kita! Semakin hari, kelihatan kita umat Islam tidak berjaya memberikan kefahaman tentang Islam kepada mereka, bahkan lebih teruk, Umat Islam semakin membina pelbagai tembok yang tebal-tebal yang memisahkan mereka yang non-muslin daripada mengenali dan memahami Islam. Alangkah jauhnya kita dengan akhlak Nabi SAW.

Dibawa ke Madinah

Perjalanan ke Madinah daripada Jeddah memakan masa lebih kurang 4 jam, sampai sahaja di Madinah, waktu Subuh hampir tiba. Hanya berehat seketika, terus menuju ke Masjid Nabi. Jemaah daripada pelbagai negara telah berpusu-pusu untuk ke masjid. Ketika itu, jam menunjukkan pukul 3.15 pagi waktu tempatan. Semakin kaki ini melangkah hampir masuk ke dalam masjid, semakin terasa debaran kerana jiwa yang kotor akan berada di tempat yang kedua mulianya di dunia ini. Semakin hampir ke saf hadapan masjid, semakin pilu rasanya, kerana kaki ini semakin menghampiri makam pembawa berita gembira kepada ke seluruh umat manusia, Muhammad SAW.


Masjid ini sangat luas dan sangat cantik senibinanya. Menuju ke sempadan asal masjid Nabawi yang dibina oleh Nabi Muhammad SAW sangat jauh. Sempadan asal masjid ini ada ditulis pada setiap tiang akhirnya. Pembesaran dilakukan dari masa ke semasa sepanjang zaman. Kini, masjid tersebut mampu memuatkan seramai lebih satu juta orang pada satu masa. Asal masjid yang kecil sehingga kini menjadi sangat besar membayangkan betapa pertambahan umat Nabi Muhammad SAW dari dahulu sehingga kini.


Sekarang adalah musim panas. Siangnya agak panas. Tetapi sangat kering di Madinah. Kerja-kerja pembinaan untuk perluasan Masjid Nabawi menjadikan keadaan agak berdebu. Agak ekstrim cuaca tersebut terutama kepada individu yang berasal daripada kawasan beriklim tropika seperti Malaysia. Ramai di antara rakan-rakan yang pecah bibir mereka akibat kekurangan air. Mengenang kembali keadaan cuaca ini di zaman Rasulullah SAW, Nabi SAW meminta penduduk Madinah selalu bersabar seperti sabdanya yang bermaksud:

“Sesiapa daripada umatku yang sabar menanggung kesusahan Madinah, aku akan memberi syafaat kepadanya di hari kiamat atau aku menjadi saksi kepadanya”

Hijrah Nabi SAW ke kota Madinah, melalui satu perjalanan sejauh 405 kilometer selama seminggu di atas gurun pasir yang sangat panas di waktu siangnya dan sangat sejuk di waktu malamnya. Pengorbanan tersebut membuahkan hasil apabila baginda Nabi SAW disambut oleh penduduk Yathrib dan seterusnya mendirikan sebuah negara di Madinah Al-Munawwarah.


Hijrah adalah satu perilaku yang berani. Orang yang penakut tidak mampu untuk berhijrah. Kini, sungguhpun ada sebahagian ulama berpandangan masih wujud hijrah fizikal seperti yang dialami oleh Nabi SAW, terutama kepada kepada umat Islam yang tertindas di negara kuffar, namun kebanyakkannya lebih menitik beratkan penghijrahan yang bukan berbentuk fizikal.

Di dalam alam Melayu ini, ada orang mengatakan bahawa bangsa Melayu ini, sukar hendak berhijah. Bangsa Melayu juga tidak suka berfikir. Kerana itulah orang Melayu lebih suka kepada pelbagai peraturan-peraturan yang kompleks yang sudah sedia ada daripada berfikir untuk keluar menerjah pelbagai penemuan terbaru. Kita lebih suka kepada perkara yang sudah siap daripada bersusah payah berfikir bagaimana ia dihasilkan. Di dalam hukum, orang kita lebih suka bertaklid kepada ustaz-ustaz setempat, daripada menyusahkan diri sendiri, terpaksa berfikir, membaca perbahasan hukum secara terus daripada pelbagai ulama muktabar. Benda yang sudah siap katanya. Sebab itu, di dalam perbahasan hukum, apabila dihamburkan dengan pelbagai kaedah, yang menuju kepada instinbat sesuatu hukum, orang kita sudah malas untuk meneliti. Mereka lebih suka kepada apa yang sudah siap. Kerana itu, soalan yang hampir sama kedengaran setiap kali, apabila berubah sedikit suasana, maka terus tidak ketahuan dibuatnya. Kerana umat kita tidak mengetahui kaedah sebaliknya hanya mengetahui hasil yang dibuat oleh orang lain. Ust Zaharuddin Abd Rahman ada menegur khalayak berkenaan perkara ini.


Kuliah-kuliah yang kita minati pula, bukanlah kuliah yang benar-benar boleh memberikan ilmu terutama ilmu-ilmu alat. Kita lebih berminat kepada tasyji’ dan taujihad yang memberikan semangat kepada kita. Kebanyakan daripada apa yang dikuliahkan telahpun kita ketahui. Tidak ada apa yang baharu pun. Sedangkan banyak lagi medan kuliah yang menyajikan perkara yang baru. Apabila ditanya, mereka akan menjawab, pening kepala aku belajar benda yang susah aku nak faham. Pokoknya malas berfikir! Sedangkan Islam itu dimulai dengan membaca dan menulis sebagaimana firman ALLAH SWT di dalam surah Al-Alaq.

Di dalam AlumniIPU juga begitu, ramai yang memberikan komen kepada moderator. Kenapa tidak ditapis email itu dan email ini. Pandangan itu dan pandangan ini. Berserabut kepala otak aku dibuatnya. Aku sudah tidak mampu berfikir. Pokoknya adalah soal berfikir! Benar, orang kita malas berfikir. Sebab itu, mereka malas untuk meneliti dan menelaah sedikit hujah yang di luar apa yang mereka pegang selama ini. Mereka lebih selesa dengan apa yang mereka ada walaupun mungkin ada yang lebih baik daripada itu.

Wahai sahabat, lihatlah, betapa luasnya pandangan yang ada selain apa yang kita pegang selama ini. Terutama di dalam bidang ijtihad ilmu fardu kifayah. Ilmu Dunia. Lain orang, lain pula cara berfikirnya. Setiap cara tersebut, merungkai satu sudut permasalahan di dalam umat Islam.

Kami moderator, tugas kami hanyalah sebagai posmen semata-mata. Tidak lebih dari itu. Jika perkara yang sudah disepakati seperti isu Syiah dan akidah, memang kami akan block. Tetapi perkara lain, kami tidak layak untuk menilai sama ada artikel tersebut sesuai atau tidak. Siapalah kami ini untuk menentukan email mana yang sesuai dan email mana yang tidak sesuai. Sebaliknya, tuan-tuanlah yang lebih layak menyerang balas hujah-hujah tersebut dengan penuh adab, hikmah dan kebijaksanaan sekiranya tuan-tuan merasakan apa-apa artikel yang keluar tersebut tidak betul dan tidak tepat.

Di zaman sekarang ini, tidak ada gunanya menutup maklumat. Jika kita lari daripada realiti, akhirnya ahli-ahli kita tetap akan berdepan dengan pelbagai maklumat tersebut sama ada benar ataupun salah di dalam forum-forum lain. Di sana lebih merbahaya lagi kerana tidak ada sesiapa yang akan membetulkan sekiranya mereka tersalah. Sedangkan di dalam forum egroup JASA ini, kita mempunyai pelbagai forumers yang pakar dalam pelbagai ikhtisas masing-masing seperti perundangan, gerakan Islam, Fiqh dan politik. Mereka ini bukan lagi pelajar universiti sebaliknya telah menjadi pakar rujuk di dalam masyarakat negara. Mereka mungkin dapat membetulkan kita sekiranya kita tersilap atau sekurang-kurangnya akan memberikan rujukan untuk kita merujuk.

Bahkan banyak kritikan dan sindiran kepada pimpinan JASA pun, kami keluarkan dengan rela hati. Sebagai manusia, hati yang membaca memanglah remuk, tetapi apakan daya kami. Memang kami insafi, sebagai pimpinan, kami memang untuk dikritik. Siapalah diri kami ini jika dibandingkan dengan peribadi Saidina Umar RA yang dikritik oleh seorang wanita yang membantah mahar dikurangkan di hadapan khalayak. Cumanya, beberapa kritikan yang tidak tepat akan kami jawab untuk mengelakkan kekeliruan akan terus berpanjangan.

Sebab itu antara hijrah yang terbesar di zaman ini adalah berhijrah daripada sikap malas berfikir kepada rajin berfikir. Jamaah kita ini tidak akan maju dengan ramainya pentaklid sebaliknya akan kukuh dengan ramainya pemikir. Yang sentiasa bersedia memberikan pandangan di luar kotak.

Umrah di Makkah

Menyambung perjalanan ke Makkah Mukarramah bagi penyempurnaan ibadah Umrah. Apabila berihram, maka wajib orang lelaki memakai kain yang tidak berjahit. Maka ketika itu, kami semua sama sahaja kelihatannya. Orang kaya, orang miskin, orang Arab, Melayu, Pakistan, Eropah, orang tua atau orang muda, kesemuanya sama. Lihatlah betapa indahnya Islam mengajar erti persamaan. Islam lebih dahulu mengajar erti persamaan darjat, 1300 tahun lebih awal daripada Karl Marx dan Frederick Hegel membincangkan aspek persamaan kelas.

Manusia ini sama, hanya kita sahaja yang suka membeza-bezakan. Kita suka mendiskriminasi manusia kepada pekerjaan profesion mereka, kereta yang mereka pakai, rumah yang mereka ada, rupa paras yang jelita, dan segala macam unsur duniawi yang lain. Penyakit ini sangat teruk kepada seluruh umat manusia termasuk Umat Islam yang berada di dalam gerakan Islam sendiri. Lihatlah apa yang kita bualkan setiap hari, tentunya tidak lari dari unsur membeza-bezakan manusia berdasarkan kelas-kelas di atas. Akhirnya, mereka yang serba kekurangan akan sentiasa hidup di dalam keadaan yang hina diri manakala mereka yang mewah akan sentiasa angkuh. Alangkah kasihannya masyarakat yang hidup sebegini.

Manusia ini sama. Mengapa harus dibezakan mengikut ras dan bangsa? Sedangkan Islam itu bersifat menyatukan. Islam mengajar kepada kita untuk bersifat ihsan walaupun kepada non-muslim. Di Malaysia ini, non-muslim tidak nampak keindahan Islam kerana mereka tidak mendapat manfaat daripada kehadiran Islam di dalam jiwa rakan muslim mereka. Ini berlaku kerana kita terlalu menekankan aspek perkauman yang sempit. Kaum India di negara ini, membolot hampir 75% daripada pekerjaan kelas bawahan daripada buruh kasar, pencuci tandas, dan seumpamanya. Mereka hidup di bawah paras kemiskinan. Orang Islam langsung tidak peduli perkara ini kerana berpandangan bahawa mereka orang kafir tidak perlu dibantu sebab mereka semua adalah ahli neraka. Sedangkan Islam mengajar manusia berbuat amal walaupun kepada seekor semut.

Terdapat ramai ulamak berpandangan bahawa zakat diizinkan untuk diberikan kepada non-muslim di atas asnaf muallaf. Di atas takrifan, muallaf juga adalah termasuk mereka yang belum Islam tetapi hendak dilembutkan hati mereka agar menerima Islam. Apabila ada cadangan untuk memberikan sedikit wang zakat kepada non-muslim, sebahagian orang Islam melompat dan melatah. Sehinggakan mengeluarkan pelbagai kecaman yang boleh melukakan hati non-muslim. Sedangkan kepada sesiapa yang biasa hadir di majlis penyerahan wang zakat, mereka akan dapati, ramai juga antara penerima zakat yang memakai kereta Iswara, dan ada juga yang sengaja tidak bekerja semata-mata bergantung kepada wang zakat walaupun sihat.

Akhirnya rahmat Islam tidak sampai kepada non-Muslim di negara ini. Bagaimana mereka hendak memeluk Islam?

Menyambung kembali; Berdepan dengan kaabah menjadikan hati sangat berdebar-debar. Inilah dia penyatuan arah solat umat Islam di satu dunia. Aku telah berada di sini. Manusia di sini berebut-rebut untuk mengejar rahmat ALLAH SWT. Untuk berdoa di pintu kaabah atau multazam, terpaksa berebut-rebut seperti berdemonstrasi. Untuk solat di Hijir Ismail juga begitu. Mementingkan diri sendiri pada ketika ini mungkin satu kelebihan agar diri sendiri dapat bersolat di sana.


Ibadah khusus, seperti solat, tawaf dan saie sangat sukar dirasionalkan mengikut hukum logik akal. Ia menuntut keimanan. Mengapa perlu mengelilingi kaabah, mengapa perlu berjalan ke hulu-hilir antara safa dan marwah, tidak perlu ditanya. Samalah Nabi Ismail AS yang tidak bertanyakan alasan kenapa dirinya harus disembelih oleh ayahandanya Nabi Ibrahim AS. Itulah ubudiyyah namanya.


Setelah melalui tawaf, saei dan bercukur, memang terasa penatnya. Kepada rakan-rakan yang agak berusia serta kurang sihat, lebih lagi terasa letihnya. Manakan tidak, jarak keseluruhan untuk bersaie adalah sekitar 3 batu! Tidak termasuk pecutan 100 meter apabila sampai di lampu hijau lagi. Kepenatan ini dikongsi bersama antara ribuan jemaah lain daripada pelbagai negara.


Siapa sangka, Mekah, tanah yang tandus, ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim AS kepada Siti Hajar dan Nabi Ismail AS ribuan tahun dahulu, akhirnya kini menjadi tumpuan jutaan manusia di seluruh dunia. Besarnya kuasa ALLAH SWT., apa yang ALLAH SWT kehendaki terjadi, pasti ia terjadi.


Saya mohon kepada kita semua untuk membaca kisah Autobiografi Malcolm-X, ataupun El-Malik Shabazz. Atau paling malas, menonton filem yang bertajuk Malcolm-X yang berdasarkan autobiografi beliau yang dilakonkan oleh pelakon Hollywood terkenal, Denzel Washington. Malcolm-X, asalnya seorang yang sangat takjud dengan kebudayaan kulit putih akhirnya menjadi penjuang kulit hitam yang radikal di bawah pimpinan Elijah Muhammad, Nation of Islam. Akhirnya, setelah beliau pergi menunaikan haji di Makkah, beliau melihat betapa ramainya umat Islam daripada pelbagai bangsa dan warna kulit yang berbeza, dapat hidup bersama-sama dengan prinsip-prinsip persamaan. Barulah beliau sedar bahawa perjuangan “race supremacy” atau keagungan bangsa tidak sampai ke mana-mana di dalam membahagiakan manusia. Akhirnya beliau menyambung perjuangan beliau di atas prinsip persamaan hak antara manusia. Beliau shahid dibunuh dengan lebih 100 das tembakan ketika sedang menyampaikan ucapan beliau di Manhattan's Audubon Ballroom, pada 21 Februari 1965. Sungguh hebat ibadah Haji. Ia mampu mengubah seorang tokoh besar.

Monday, February 23, 2009

Strategi Responsif Pakatan Rakyat Sangat Merbahaya

Berapa banyak sudah serangan yang dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat. Nampaknya sekarang Pakatan Rakyat menari mengikut gendang yang dipalu oleh UMNO. Kebanyakan ahli PAS, Keadilan, DAP dan Pakatan Rakyat merasakan bahawa kejatuhan kerajaan PR Perak adalah merupakan jurang yang terdalam serangan UMNO yang mereka terima. Mereka menyangkakan bahawa selepas itu mereka kembali bangkit menyerang balas. Namun, serangan berantai satu demi satu oleh UMNO kepada Pakatan Rakyat melalu kes V. Sivakumar, Elizebeth Wong, kes Lembu TS Khalid Ibrahim menyebabkan tarian yang ditarikan oleh Pakatan Rakyat telahpun sumbang langkahnya.
Sangat dikesalkan, selepas serangan bertubi-tubi tersebut, ahli-ahli Pakatan Rakyat masih menyangkakan bahawa, ia adalah serangan barisan Nasional yang terakhir.



Rata-rata mereka masih tidak menyedari bahawa serangan tersebut hanyalah 20% sahaja daripada serangan yang lebih hebat yang akan berlaku selepas daripada ini. Tidak mustahil bahawa ada di antara pimpinan Pakatan Rakyat yang akan dikenakan ISA. Kenapa saya katakan begitu, kerana jika orang lain yang berada di dalam kedudukan Dato’ Seri Najib Razak sekarang ini, maka mereka terpaksa melakukan perkara yang sama untuk meraih keyakinan dan sokongan daripada ahli parti UMNO untuk membuktikan bahawa beliau berkeupayaan dan mempunyai kekuatan untuk menduduki kerusi Presiden UMNO yang ke-7. Tambahan pula, moral dan motivasi ahli-ahli UMNO seluruh negara telah jatuh teruk selepas kekalahan berturut-turut di dalam Pilihanraya Umum ke-12, Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.



Selain itu, serangan demi serangan tersebut, bertujuan untuk mensibukkan pimpinan Pakatan Rakyat di dalam usaha menangkis dan menjawab serangan. Akhirnya, melarikan fokus kerajaan negeri Pakatan Rakyat terpesong daripada tugas sebenar mereka untuk membangunkan negeri dan memperbaiki masalah rakyat. Apabila rakyat tidak terbela, mereka akan terus-terusan menyalahkan kerajaan Pakatan Rakyat. Satu pujian harus diberikan kepada Speaker DUN Perak, V. Sivakumar, kerana membuat satu langkah yang tepat apabila menggantung Dato’ Dr Zamry Kadir bersama-sama 6 exco lantikannya daripada menghadiri dewan. Perkara ini menggoyahkan dan melambatkan sedikit kelancaran serangan bertubi-tubi UMNO dan BN kepada Pakatan Rakyat. Selepas tindakan tersebut, kelihatan Dato’ Zambry terpaksa menumpukan fokus mengkaji kembali Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak untuk membolehkan beliau untuk menghadapi situasi di Dewan Undangan Negeri Perak kelak. Perkara ini membolehkan Pakatan Rakyat di Perak sedikit bernafas. Namun, ia masih tidak mencukupi.



Beberapa tindakan lain yang lebih agresif harus dilakukan oleh Pakatan Rakyat kepada UMNO agar mereka pula menari mengikut gendang yang dipalu oleh Pakatan Rakyat. Mungkin sudah tiba masanya, sikap menjaga hati, berbaik-baik dengan UMNO perlu diketepikan kerana UMNO sememangnya tidak tahu bersahabat dan sentiasa mencari peluang untuk menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat. Kita sering berbicara tentang masalah rasuah dan penyelewengan yang berlaku kepada kerajaan UMNO dan BN di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa, namun setelah Pakatan Rakyat berkuasa di ketiga-tiga negeri tersebut, tidak ada pula sebarang siasatan besar-besaran terhadap lebagai penyelewengan yang dilakukan oleh BN pada sebelum ini. Sedangkan inilah masanya untuk membongkar kesemua penyelewengan dan kebejatan Barisan Nasional. Satu pasukan penyiasatan harus ditubuhkan bagi menumpukan kepada perkara tersebut. Jangan nanti telah turun dari kekuasaaan negeri baru terhegeh-hegeh pergi ke Pej SUK untuk mendapatkan fail dan mencari bukti. Penyelewengan UMNO yang lepas perlu didedahkan. Dengan cara ini, kedudukan UMNO dan Barisan Nasional akan berubah daripada situasi menyerang kepada bertahan.
Berhadapan dengan situasi pemilihan Perhimpunan Agung UMNO akan datang, satu peneguhan kepada Abdullah Ahmad Badawi agar beliau terus kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia harus dilakukan untuk memecahkan dominasi Najib yang terus-menerus memangsakan Pakatan Rakyat demi mencapai populariti di kalangan ahli-ahli UMNO. Setidak-tidaknya, pengaruh tersebut dimbangi dan persaingan untuk mencapai kekuasaan wujud di antara kedua-dua pihak yang berlawanan. Di dalam politik dan kekuasaan, pesaing harus mewujudkan dua kekuatan yang seimbang di dalam tubuh pesaingnya yang lagi satu.

Ada baiknya, penggerak Pakatan Rakyat berhenti seketika untuk menonton cerita-cerita seperti Vantage Point, JFK dan The Sum of All Fears untuk menilai, kita sekarang berada di peringkat mana di dalam graf turun naik serangan dan pertahanan kita.

KEBANGKITAN PERJUANGAN MAHASISWA DALAM CERMINAN ABAD

KEBANGKITAN PERJUANGAN MAHASISWA DALAM CERMINAN ABAD

Fadhlur Rahimi bin Ahmad Bustami

(Kertas Kerja ini dibentangkan di Seminar Kepimpinan Islam bertempat di Dewan Peperiksaan, Multimedia University pada 21 Februari 2009)



Pengenalan

Perjuangan Mahasiswa atau Student Activism adalah menjadi sebut-sebutan kepada banyak pihak. Telatah mahasiswa di dalam memperjuangkan idea yang mereka anuti seringkali menjadi igauan kepada para pemerintah yang diktator mahupun kepada para opurtunis yang sentiasa menyalahgunakan peluang untuk kepentingan peribadi. Namun, istilah perjuangan mahasiswa dan student activism seringkali disalahertikan sebagai seseorang mahasiswa yang hanya berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan pencapaian dirinya sahaja. Seperti belajar bersungguh-sungguh dan terlibat dengan penganjuran program-program persatuan. Dalam masa yang sama tidak memperdulikan apa yang berlaku di luar ruang lingkup kemahasiswaan mereka.

Terminologi dan Definisi

Persoalannya benarkah anggapan tersebut. Fletcher, A. (2005) memberikan takrifan kepada “Student activism” atau perjuangan mahasiswa sebagai suatu usaha yang dilakukan oleh mahasiswa yang memberikan kesan perubahan kepada politik, ekonomi dan sosial. Sekiranya takrif ini digunakan, maka mahasiswa yang ingin mendukung perjuangan seharusnya menjadikan gerakerja perjuangan mereka keluar daripada kepompong persekitaran kolej, universiti dan kemahasiswaan semata-mata. Seharusnya takrifan Perjuangan Mahasiswa atau Student Activism dibezakan dengan istilah-istilah seperti pelajar yang baik, pelajar yang rajin, mahasiswa yang berjaya di dalam pelajaran dan mahasiswa yang berketrampilan. Walaupun begitu, unsur-unsur di atas merupakan elemen yang sangat utama di dalam perjuangan mahasiswa.

Tugas Mahasiswa

Mohd Shuhaimi Al-Maniri (1995) menulis tentang tugas dan tanggungjawab mahasiswa dan pembahagian sikap mereka. Perkara yang paling asas yang wajib dilakukan oleh mahasiswa adalah menguasai pengkhususan yang mereka pelajari di Kolej atau Universiti. Penguasaan ini dilakukan dengan belajar dan mendapat kecemerlangan di dalam peperiksaan. Jika ini pun tidak dapat dilakukan, maka mereka bukan mahasiswa kerana ia adalah perkara yang paling asas. Peringkat kedua tanggungjawab mahasiswa adalah mempertingkatkan ilmu, kemahiran, kebolehan, ketrampilan, kemahiran kepimpinan dan kemahiran pengurusan. Kebanyakan ilmu ini adalah di luar daripada silibus pengkhususan yang mereka pelajari. Mereka perlu mengadakan wacana, berdebat, membaca dan berpesatuan untuk tujuan tersebut. Peringkat yang ketiga tanggungjawab mahasiswa, inilah yang disebut perjuangan mahasiswa atau student activism iaitu melakukan gerakerja bersungguh-sungguh untuk membuat perubahan di dalam masyarakat, ekonomi, sosial dan politik kepada keadaan yang lebih baik. Peringkat ketiga inilah yang paling sukar, dan kejayaan dan kegagalan di peringkat menjadi bahan perbahasan ahli-ahli akademik, dan ditulis sebagai satu catatan sejarah di dalam sesebuah negara.

Peringkat ketiga aksi mahasiswa inilah yang menyaksikan banyak perubahan-perubahan politik dan ekonomi yang berlaku di dalam sejarah dunia. Perubahan ini sangat besar sehinggakan ia mengubah landskap politik dunia bukan hanya di satu-satu negara sahaja. Di antara perubahan politik yang penting, yang berlaku di dalam sejarah moden yang digerakkan atau disertai oleh kelompok mahasiswa dan pemuda adalah Velvet Revolution di, Czechoslovakia (1989), May Fourt Movement di China (1919), Revolusi Islam Iran (1989), Protes Tiananment Square di China (1989), Indonesia (1998), Bulldozer Revolution di Serbia (2000), Rose Revolution di Georgia (2003), Orange Revolution di Ukraine(2004), Tulip Revolution di Kyrgystan(2005). Kesemua contoh-contoh di atas adalah perubahan regim yang berlaku hasil gerakan pelajar.

Mengapa Gerakan Mahasiswa?

Ramai yang bertanya, mengapakah sesuatu kebangkitan tersebut, perlu digandingkan bersama-sama dengan perkataan mahasiswa, gerakan tersebut pula mendapat satu liputan yang sangat istimewa dan ia dianggap sebagai sesuatu yang sangat ekslusif sedangkan di dalam masa yang sama, terdapat banyak lagi kebangkitan lain yang mempengaruhi keadaan politik, sosial dan ekonomi sesebuah negara yang dikepalai oleh kelompok yang bukan lagi bergelar mahasiswa.

Namun, satu fakta yang sukar untuk disanggah terutama di era moden ini adalah, terlalu banyak perubahan radikal di dalam sesebuah di negara digerakkan oleh kelompok mahasiswa manakala gelombang kebangkitan yang digerakkan oleh kelompok lain seringkali disertai bersama dengan kelompok mahasiswa dan pelajar.

Gerakan seperti ini digandingkan namanya dengan mahasiswa kerana terdapat perubahan yang radikal kepada sesuatu individu tersebut apabila mereka keluar daripada alam kampus. Walaupun idealisme yang diperjuangkan ketika di kampus kekal di dalam hati sanubari bekas mahasiswa, namun tindakan mereka sudah agak terbatas dibandingkan ketika mereka berada di alam pelajar.

Secara umumnya, perkara ini menjadi putaran berkali-kali apabila lapisan demi lapisan keluar dan masuk universiti tanpa bergantung kepada siapakah dia yang berada di alam kemahasiswaan tersebut.

Kelompok mahasiswa mampu untuk nyata bangkit membuat memperjuangkan perubahan berbanding kelompok lainnya di dalam struktur masyarakat adalah disebabkan beberapa faktor berikut, (Christopher A. Miller):

a. Ideal

Di dalam tempoh usia mereka yang muda remaja, serta keghairahan terhadap ilmu, teori dan falsafah yang tinggi menyebabkan kelompok ini sangat ideal cara berfikirnya. Mereka mempunyai ideologi yang tulen berkenaan sesuatu perkara. Cara berfikir yang sedemikian menyebabkan kelompok ini cenderung untuk bersikap proaktif di dalam menyelesaikan pelbagai masalah di dalam masyarakat daripada membiarkannya.

b. Budaya Ilmu di Universiti/IPT

Budaya universiti yang menggalakkan kepada kuliah, perbahasan, perdebatan, wacana dan pembacaan melonjakkan semangat mahasiswa untuk mengimplementasikan apa yang mereka rumuskan daripada wacana-wacana tersebut.

c. Muda

Rata-rata kelompok mahasiswa adalah terdiri daripada usia belasan tahun sehinggalah penghujung usia 20-an. Di dalam usia sedemikian, kelompok ini mempunyai jiwa memberontak yang sangat membara. Mereka juga cenderung untuk bebas daripada terikat dengan mana-mana birokrasi dan tradisi. Golongan ini sangat bertenaga terutama di dalam berdepan dengan pelbagai situasi yang sukar

d. Masa yang Banyak

Berbanding dengan golongan selepas persekolahan yang telah bekerja, golongan mahasiswa mempunyai masa luang yang lebih banyak. Di dalam kesempatan waktu tersebut, mereka mampu untuk merencanakan sesuatu perkara dengan baik dan melaksanakan pelbagai perancangan tersebut. Selain itu, waktu tersebut juga biasanya digunakan untuk menambah pengetahuan berkenaan pelbagai ilmu, kemahiran dan falsafah selain menyebarkannya kepada rakan-rakan sepengajian.

e. Kurang Tanggungjawab

Kelompok mahasiswa rata-ratanya masih belum berkahwin dan bekerja. Mereka tidak mempunyai anak, dan isteri. Dalam keadaan tersebut, mereka mampu untuk membuat sesuatu keputusan dengan tempoh yang singkat tanpa perlu berfikir panjang. Perkara ini sangat jelas di dalam perjuangan yang bersangkut paut dengan politik di sesebuah negara.

f. Budaya berpersatuan di Universiti

Budaya ini membentuk hubungan struktur yang kuat di antara mahasiswa satu sama lain. Selain itu juga ia membentuk tradisi kepimpinan yang sangat dihormati oleh kelompok mahasiswa dan masyarakat.

g. Membentuk Komuniti

Pengajian di universiti dan kolej, membentuk satu komuniti yang hampir antara satu sama lain. Mereka tinggal berhampiran. Kedudukan yang sebegini, membentuk satu rangkaian pengurusan yang cepat di dalam apa juga tindakan mereka. Kedudukan yang sebegini juga, memudahkan aspek kawalan terutama oleh pimpinan mahasiswa terhadap pengikut-pengikut mereka. Tidak terkecuali aspek penyebaran maklumat, mereka dekat dengan pensyarah dan pimpinan mereka.

h. Kelompok Kelas Pertengahan (Middle Class)

Di dalam piramid struktur masyarakat, kebanyakan mahasiswa berasal daripada keluarga kelas pertengahan. Perkara ini lebih jelas di negara-negara yang IPTnya tidak dibiayai oleh kerajaan. Kedudukan ekonomi yang tidak terlalu menghimpit mereka menyebabkan mereka mampu untuk berfikir di luar daripada persoalan cari makan yang membelenggu kebanyakan golongan bawahan.

Mengapa Gerakan Mahasiswa Sangat Berpengaruh

Gerakan mahasiswa adalah satu gerakan yang sangat ampuh dan berpengaruh. Suara mereka didengar dan digeruni. Mereka juga dihormati. Faktor-faktor yang menyebabkan fenomena sedemikian berlaku adalah (Christopher A. Miller,2001):

a. Mahasiswa Golongan Elit dan Terpelajar

Masyarakat menganggap bahawa mahasiswa adalah golongan elit yang pandai. Tidak semua masyarakat yang mampu untuk menyambung pelajaran disebabkan kurang berjaya di dalam pengajian. Oleh itu, apabila mahasiswa bersatu di dalam satu suara, maka ia dianggap mewakili pemikiran golongan yang terpelajar yang seharusnya diikuti suara mereka.

b. Kemahasiswaan Adalah Institusi yang dihormati oleh masyarakat

Disebabkan kelompok mahasiswa rata-ratanya tidak bekerja dan tugas mereka hanyalah belajar, maka apabila golonogan ini memberikan pandangan tentang sesuatu perkara, pandangan mereka dianggap sebagai pandangan yang lahir daripada hati budi mereka sendiri tanpa adanya apa-apa kepentingan daripada mana-mana pihak yang berlawanan. Masyarakat menganggap pandangan mereka adalah objektif apabila mereka bersetuju apabila mereka bersetuju dengna sesuatu pihak mahupun apabila mereka tidak bersetuju dengan sesuatu pihak.

c. Mahasiswa adalah sebahagian daripada masyarakat

Mahasiswa dan pelajar merupakan anak-anak, saudara mara dan kenalan kepada sebahagian masyarakat yang lebih besar. Oleh itu, kata-kata mereka sangat berkesan kepada keluarga, saudara dan kenalan mereka. Hubungan yang sangat rapat itu juga menyebabkan masyarakat turut bangkit bersama mahasiswa di dalam pelbagai isu yang diutarakan dan seterusnya membela mereka.

Ciri-ciri Perjuangan Mahasiswa

Suatu perkara yang harus diakui oleh mana-mana pihak, perjuangan mahasiswa walau sebesar mana sekalipun perubahan yang dilakukan pada sesebuah negara, hampir tidak ada yang mewarnai perjuangan mereka dengan senjata dan keganasan. Apabila sesuatu perjuangan tersebut disertai dengan gerakan bersenjata, walaupun kelompok itu adalah terdiri daripada golongan pemuda maka ia tidak dinamakan sebagai gerakan mahasiswa. Walaupun terdapat tohmahan kini bahawa gerakan mahasiswa adalah suatu gerakan yang ganas di atas pelbagai demonstrasi yang dilakukan, namun di kalangan ahli akademik yang mengkaji gerakan pelajar, mereka tetap mengklasifikasikan tindakan tersebut sebagai non-violent action / non-violent struggle selagi mana ia tidak disertai dengan pemberontakan bersenjata (Gene Sharp, 1993).

Kejatuhan banyak diktator hasil daripada gerakerja mahasiswa berlaku dengan aman tanpa melibatkan pertumpahan darah yang besar dan pemberontakan bersenjata. Mahasiswa yang berjuang kepada perubahan politik sesebuah negara membuat pelbagai protes yang simbolik dan civil disobedient.

Mahasiswa menggunakan semua saluran yang ada sama ada rasmi atau tidak untuk menyatakan penentangan mereka terhadap sesuatu isu. Protes melalui media, akhbar, boikot, demonstrasi dan sebagainya menjadi suatu bentuk strategi bagi mereka untuk mencapai matlamat perjuangan.

Kebanyakan buku-buku tentang perjuangan mahasiswa mengaitkan perjuangan tersebut dengan mahasiswa apabila perjuangan tersebut anti-establishment. Walaupun begitu, mahasiswa yang berjuang untuk identiti bangsa, dan negara turut disanjung dan tertulis di dalam lipatan sejarah sesebuah negara.

Perjuangan Mahasiswa di Malaysia Sepintas Lalu

Ramai penulis menganggap dekad penghujung 60-an dan awal 70-an sebagai zaman emas (Shuhaimi, 1995) kebangkitan golongan mahasiswa di negara ini. Perkara ini berlaku kerana mahasiswa pada ketika itu keluar daripada kampus mereka, turun bersama rakyat di dalam memperjuangkan masalah rakyat tertindas. Mahasiswa di dalam tempoh ini melakukan pengorbanan yang besar semata-mata untuk membela kebajikan rakyat. Ketika ini perbahasan kampus sarat dengan pelbagai ideologi dan falsafah seperti nasionalis dan sosialis. Kemudian munculnya kelompok Islamis yang memperjuangkan cara hidup Islam di dalam masyarakat. Kebanyakan perjuangan mereka adalah bersifat anti-establishment.

Kelompok pro-establishment di dalam era kampus wujud agak lewat iaitu dipenghujung tahun 80-an. Bermula dari waktu tersebut, maka pilihanraya kampus menjadi tempat pertembungan di antara kelompok pro-establishment dan anti-establishment. Namun, satu perkara yang berlaku, seringkali pihak pentadbir universiti mengambil sikap berpihak terutama kepada kelompok pro-establishment setiap kali pilihanraya kampus berlaku.

Sesetengah universiti menghadkan jenis-jenis wacana yang boleh diadakan. Kurangnya slot perbahasan daripada pelbagai pihak yang bertentangan menyebabkan suasana perjuangan mahasiswa di kampus tidak sesubur era yang lampau.

Namun, ada juga yang menyanggah perkara tersebut dengan menyatakan baahwa gerakan mahasiswa telah berevolusi menjadi sedemikian sifatnya di atas sikap mengutamakan matlamat yang hendak dituju berbanding kaedah yang hendak dilakukan.

Penutup

Satu perkara yang harus diambil perhatian di sini bahawa, walau seberapa jauh perbincangan kita, kita akan dapati bahawa mahasiswa tersebut tidak akan bangkit jika tidak ada ilmu yang menyokong mereka. Oleh itu, universiti dan mahasiswa harus membanyakkan wacana, membanyakkan bahas, mengurangkan protokol, berfikir secara terbuka, mempunyai jiwa yang merdeka, dan harus keluar dari kepompong kejumudan. Manakala, dari segi yang lain, mereka harus memperbanyakkan kemahiran dan ketrampilan peribadi. Dengan cara tersebut, maka gerakan mahasiswa akan terus dihormati oleh masyarakat.

Rujukan dan Bibliografi

1. Gene Sharp, 1993, From Dictatorship to Democracy, Albert Einstein Institution, Boston

2. Mohd Shuhaimi Al-Maniri, 1995, Di Sebalik Tabir Politik Kampus, Pustaka Generasi Baru, Kuala Lumpur

3. Riduan Mohamad Nor, 2007, Potret Perjuangan Mahasiswa Dalam Cerminan Dekad, Jundi Resources, Kuala Lumpur

4. Fletcher, A., 2005, Guide to Social Change Led By and With Young People Olympia, WA

5. Gene Sharp & Bruce Jenkin, 2002, The Anti-Coup, Albert Einstein Institution, Boston

Christopher A. Miller, 2001, Only Young Once, University For Peace, Addis Ababa

Friday, February 13, 2009

Analisis Buku-Virus L, Malapetaka Di Hujung Jari


Seorang sahabat menjualkan kepada saya satu buku dengan harga diskaun. Barang diskaun memang menjadi satu keutamaan saya di dalam membeli. Lagipun, sudah lama tidak membaca buku bertaraf novel ini. Terutama apabila kepala ini disumbat dengan pelbagai jenis teori dan cara fikir yang dibentangkan kononnya untuk menyelamatkan dunia.

Virus L, Malapetaka Di Hujung Jari. Kulitnya dibaluti dengan satu gambar, dua lelaki. Seorang sedang berlari dan seorang sedang merenung terhadap saya. Kemudian, orang-orang (kata lain kepada ramainya orang) yang sedang berdemonstrasi. Apabila melihat gambar tersebut, maka terkaitlah kepala saya dengan serangan satu virus yang sangat dahsyat kepada sesuatu komuniti masyarakat, seperti nyatanya Virus SARS satu ketika dahulu, mengakibatkan banyak kematian dan masyarakat tersebut, terlari-larian demi untuk menyelamatkan diri, akhirnya kelompok masyarakat bangkit membantah kerajaan yang tidak serius dan prihatin terhadap malapetaka yang menimpa masyarakat tersebut.

Namun, tabiat membaca saya yang suka membaca buku dengan menghabiskan 2 mukasurat pertama, seterusnya melangkah ke dua mukasurat terakhir kerana tidak sabar mencari solusi terhadap permasalahan yang diberikan kepada mana-mana buku, akhirnya menyedarkan saya bahawa saya tertipu dengan kulit buku itu. Buku ini tidaklah menceritakan masalah serangan virus, bakteria, protozoa, parameswara atau entah apa ke namanya ke dalam satu masyarakat yang menyebabkan kematian yang dahsyat. Tetapi ia menceritakan tentang hubungkait di antara masyarakat yang berpemikiran primitif apabila telah sampai kepada mereka gelombang kebangkitan teknologi sebagaimana yang kita semua nikmati sekarang.

Buku ini menginsafkan saya, betapa masyarakat dunia ini masih terlalu primitif cara fikirnya, walaupun di hadapan mereka terbentang pelbagai jenis perubahan material yang digelar sebagai pembangunan teknologi dan kemodenan. Sejak zaman wujudnya Habil dan Qabil sehinggalah kepada Barack Obama menjadi bangsa pertama yang berkulit warna sebagai Presiden Amerika Syarikat, manusia ini masih lagi terperangkap dengan konflik-konflik ringkas yang mengukir arca kehidupan mereka. Iaitulah dendam, persaingan material, iri hati, angkuh, merasa besar dengan harta dan pangkat, kasta, membezakan sesama manusia, pembalasan, menunjuk-nunjuk dan sebagainya. Bagi saya, buku ini sarat dengan mesej-mesej di atas.

Menilik cara pembukuan novel ini, maka saya merasakan penulis menggunakan bahasa yang simple untuk membawa mesej yang besar dan kompleks. Kadang-kala cara bahasanya agak holistic, namun ada ketikanya ia memberikan satu maknawi yang pelbagai. Kebosanan apabila melihat satu paparan yang mendatar biasanya dikejutkan dengan pelbagai kejutan yang bakal meninggikan denyut nadi.

Emm, satu buku yang sangat menarik, harga yang berpatutan, dan saya fikir, tidak rugi untuk membeli dan membacanya. Syabas dan tahniah juga saya ucapkan kepada penulis buku ini iaitu Suri Mawarne Kaidar.

Template by: Abdul Munir
Website: 99computercity